Skip to content

mencari Mu

“”


Kes A
"Memang biasanya aku ligat tetapi sekarang ini aku tengah down-lah. Kau teruskanlah apa yang kau rasa baik untuk persatuan kita."
Kes B
"Masa belajar di luar negara dulu memang saya aktif dan sentiasa bersemangat. Keadaan sekarang berbeza. Saya ada tanggungjawab yang terlalu banyak yang mesti ditunaikan. Kerjaya saya sangat sangat demanding dan amat mencabar. Tuan doakanlah untuk saya."
Kes C
"Dialah dulunya yang mendidik saya agar jadi orang baik dan berguna kepada masyarakat. Namun kini dia tidak seperti dulu, bahkan lebih teruk apabila dia pula yang menentang apa yang perjuangkannya sebelum ini."
Futur
Futur bererti lemah, malas, berhenti atau terputus setelah dahulunya dia rajin dan konsisten. Di dalam konteks berkebajikan atau amal dakwah, ia adalah sejenis fenomena penyakit yang menimpa seseorang aktivis dalam bentuk rasa malas, menunda, berlambat-lambat dan lebih menyedihkan ialah apabila dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada berbuat sesuatu yang baik setelah dia pernah beriltizam dengannya.
Kenapa Futur Bahaya?
Walaupun futur adalah fenomena yang biasa berlaku di dalam diri seseorang tetapi ia mestilah diuruskan dengan baik agar sejajar dengan sunnah. Jika tidak ia akan menyebabkan kesan-kesan yang buruk.
Di antaranya :
1 - Cuai kepada tanggungjawabnya
Futur menyebabkan seseorang menjadi lemah dan malas dalam menunaikan amanah dan tanggung-jawab yang dipikulnya. Ini menyebabkan tugasan tersebut tertangguh atau terbengkalai keseluruhannya.
2 - Gugur dari jalan kebaikan
Sekiranya futur dibiarkan berpanjangan tanpa rawatan, maka dia akan menjadi satu tabiat. Lama kelamaan penyakit ini menjadi sebati dan seseorang itu menjadi semakin jauh dari amal kebaikan dan dia terus tenggelam di dalam dunianya.
Apabila dia gugur dari jalan kebaikan, maka hilanglah kebaikan yang banyak darinya. Bahkan lebih teruk lagi apabila dia pula yang menentang seruan kebaikan yang pernah diperjuangkannya.
3 - Mati di dalam keadaan yang futur
Apabila futur sudah menjadi kebiasaannya, maka dia menanggung risiko besar untuk mati di dalam keadaan sedemikian. Amat kita takuti sekali jika Allah S.W.T mengambil nyawa kita sedangkan kita dalam keadaan futur, sedangkan Allah S.W.T menghisab amal seseorang berdasarkan akhir hayatnya. Di atas sebab itulah Rasulullah S.A.W mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dengan doa;
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepada-Mu dari penyakit lemah dan malas." 
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Kenapa Boleh Futur?
Di sana, terdapat banyak pintu yang boleh membuka jalan kepada futur :
1 - Terlebih dalam pergaulan
Rasulullah S.A.W menasihatkan supaya kita memilih kawan sebagaimana sabdaannya yang bemaksud;
"Seseorang itu mengikut agama temannya kerana itu hendaklah kamu melihat orang yang kamu jadikan teman."
(Hadis Riwayat Abu Daud)
2 - Berlebih-lebihan atau melampau di dalam beramal
Ramai aktivis muda begitu bersemangat pada mulanya untuk melakukan pelbagai perkara sehingga melupakan anjuran Islam dan kemampuan diri sendiri. Akhirnya apabila fenomena futur menjelma, maka dia menjadi lemah dan bosan.
Ada juga di kalangan manusia yang suka dan berlebihan menilai orang lain, namun kemudiannya dia sendiri futur dan menjadi lebih jelek dari orang yang dinilainya.
Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud;
"Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara berterusan walau pun sedikit."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
3 - Berlebih-lebihan dalam perkara yang harus
Satu contoh berlebihan di sini ialah di dalam melayari internet, chatting atau ber-FB. Apabila berlebihan dengannya, seseorang itu akan ketagihan sehingga banyak masa yang digunakan untuk 'terbang' di alam siber. Akibatnya masa untuk berbuat kebaikan menjadi kurang dan dia sering merasa konflik antara dua perkara ini.
4 - Suka bersendirian
Apabila seseorang suka bersendirian, maka dia telah hilang satu sistem pertahanannya daripada Syaitan. Syaitan ibarat serigala yang sentiasa mengintai kambing yang terasing dari kumpulannya.
Pastinya Syaitan akan sentiasa berbisik agar seseorang itu meninggalkan amal kebaikan yang diperjuangkannya. Kita hanya akan mampu berkekalan di dalam kebaikan sekiranya terus bekerja dan hidup di dalam keadaan berjemaah dan bermasyarakat.
5 - Kurang mengingati mati
Antara faktor yang menjadi pemangkin kepada perjuangan ke arah kebaikan ialah dorongan untuk mendapat pahala, rindu dengan Syurga, takutkan dosa dan siksa Neraka. Amat penting bagi kita untuk terus mendidik diri agar istiqamah di dalam ibadah seperti membaca al-Quran, solat Subuh berjamaah dan amalan-amalan lain yang akan mengingatkan kita kepada Akhirat dan bukan hanya bercakap mengenai hal ehwal semasa atau politik semata-mata.
6 - Enteng dengan perkara syubhat dan berbuat dosa
Ada orang yang suka mengambil mudah atau enteng memandang dosa-dosa kecil. Lama-kelamaan dia tercebur dan berterusan dengannya. Manusia pasti melakukan silap dan dosa tetapi apabila berterusan melakukannya maka ini akan menyebabkan hatinya gelap, dia menjadi futur dan kemudiannya berakhir dengan gugur.
7 - Hati yang berpenyakit
Ada di kalangan manusia berbuat kebaikan kerana inginkan nama dan populariti, ada yang berbuat demikian untuk mencuri hati gadis yang dicintainya dan pelbagai sebab yang lain. Kegagalan untuk memperbetulkan atau memperbarui niatnya akan menyebabkan dia sukar untuk bertahan lama daripada futur dan terus berundur.
8 - Permasalahan dalaman organisasi
Bermacam-macam faktor yang boleh menyebabkan konflik internal. Hanya mereka yang mampu berbesar hati dan berlapang dada serta dengan kebijaksanaan kepimpinan maka permasalahan-permasalahan ini akan dapat diatasi dengan baik.
9 - Terlalu asyik dengan kerjaya dan dunianya
Apabila seseorang telah menjadi terlalu asyik dengan kehidupannya, maka dia boleh tenggelam dengannya dan sukar untuk bangkit melainkan sekiranya dia ikhlas, intim hubungannya dengan Allah S.W.T dan bersegera bangkit setelah dilanda futur.
Mari kita renungi bersama maksud sabda Rasulullah S.A.W ini;
"Sesungguhnya ada seorang hamba yang beramal dengan amalan ahli Syurga menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Neraka, ada seorang hamba beramal dengan amalan ahli Neraka menurut apa yang nampak di hadapan manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Syurga. Sesungguhnya amal-amal itu bergantung daripada akhirnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Akhir Kalam
Syakhsiah diadun berdikit-dikit
Tanpa gopoh dan tanpa kendur,
Andainya futur segera bangkit,
Usah dibiarkan bersembah gugur.
Salam perjuangan.


Hati adalah sasaran utama proses Tarbiyah



 Kata-kata yang masih tersemat kukuh di jiwa saya.
Tema proses tarbiyah adalah Imanubillah (beriman dengan Allah S.W.T) dan  Imanubil akhirah (beriman dengan hari Akhirat). Tema ini akan terus ditekankan, difokuskan dan diutamakan dalam membentuk keperibadian mukmin yang tunduk dan patuh kepada sistem aturan Allah S.W.T.
Fokuskan diri kita dengan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa). Antara unsur-unsurnya ialah taubat, mengingati mati dan takut dengan azab api Neraka.
Tema-tema inilah yang kini menjadi fokus di dalam proses pembentukan keperibadian mukmin pada saat ini dan ia akan menjadi teras tarbiyah sehingga bertemu Allah S.W.T. Tidak boleh berlaku sebarang pengabaian terhadapnya walaupun seketika!
Kata-kata dari ulama Indonesia, dalam bahasa Indonesia ia disebut cambuk hati. Dalam bahasa kita, ia disebut "Merotan Hati". Mudah sebut, ia adalah pukulan, tubi-tubi kepada hati dengan sesuatu agar hati menjadi peka, sensitif, sedar dan kembali bermaya.
Merotan hati dengan amalan soleh inilah yang akan memberikan kita jalan untuk meniti Syurga Allah S.W.T. Jalan mencintai Allah, merindui Allah dan sentiasa memelihara hubungan jiwa, hati dan perasaan terhadap-Nya.
Ibnu Taimiyah R.A juga berkata perkara yang sama, " Sungguh, di dunia ini ada Syurga, siapa yang belum memasukinya, ia tidak akan memasuki Syurga Akhirat."
Mereka bertanya kepadanya, "Apakah itu?"
Ia menjawab, "Syurga ma'rifatullah (mengenal Allah), mahabatullah (mencintai-Nya), rindu kepada-Nya dan berlemah lembut kepada-Nya."
Hati kita sifatnya mudah berdolak balik. Bertukar rasa dan perasaannya. Hati kita perlu ada sistem yang menjadi peringatan yang tetap dan berkala. Jika tidak, hati itu akan menghitam, keras, kaku, tidak bermaya dan gersang.
Bayangkan, hati itu bermaksiat. Pada mulanya ia merasakan dirinya bersalah. Kemudian, terasa akan keseronokan maksiat. Kemudian, hilang rasa takut bermaksiat. Tanda kemuncak bermaksiat kepada Allah S.W.T ialah bermegah-megah dengan maksiat yang dilakukan.
Na'uzubillahiminzalik. Mohon lindung daripada Allah S.W.T.
Tema tarbiyah tidak dapat tidak harus berlingkaran dalam putaran ini : Tazkiyatun Nafs (penyucian jiwa), proses pembersihan diri melalui taubat dan memberikan ancaman-ancaman berkaitan azab neraka.
Hati perlu ditubi-tubi dengan amal soleh, amal kebaikan dan cahaya kebersihan ma'ruf. Simbahan cahaya kebaikan inilah menjadikan ia kembali bersih, jernih, putih dan segar. Jika tiada bentuk tubian sebegini, hati mudah terlalai, leka, lupa dan alpa.
Saya meninggalkan jejak di pondok teduhan ini dengan pesanan murabbi saya berkaitan hal ini, mudah- mudahan saya adalah individu yang sentiasa menyematnya di akal, menanamnya di jiwa dan membumikan dalam amalan.
Gagahkan dirimu untuk bangun awal di pagi yang hening sebelum Subuh untuk mendirikan solat sunat dua rakaat kerana ia adalah waktu yang terbaik untuk membersihkan dan menjernihkan hati. Ketika itu, ia merupakan latihan keikhlasan, kejujuran, perhambaan dan medan mencurahkan perasaan kepada Ilahi.
Lazimkan agenda harian di awal pagi dengan sarapan rohani sebelum sarapan pagi. Zikrullah dengan kalimah-kalimah menyentuh jiwa, membersihkan kotoran perasaan berdosa pada hati dan melembutkan hati yang telah keras dan lesu. Zikir al-Mathurat adalah zikir yang sesuai untuk diamalkan.
Pastikanlah setiap hari kita semua menatap, membaca dan mentadabur ayat-ayat suci al-Quran sekurang-kurangnya dua halaman. Inilah ubat penawar yang paling utama buat hati. Tiada pengecualian bagi Mukmin sejati.
Konsisten dan istiqamahkanlah melaksanakan ia secara berterusan setiap hari. Biarpun sedikit, tetapi keutamaan kita adalah istiqamah pada amal soleh yang berkualiti buat hati. Wahai diri, rasailah perbezaannya dan kenikmatannya.
Memburu kemanisan dan kelazatan Iman, ia perlu adalah kesungguhan, fokus, konsisten dan mujahadah yang tinggi.


sumber Tulisan: ILuvIslam


Antara topik yang sering dikongsikan adalah - membuat pilihan tentang jodoh.
Pilihan itu terasa lebih sukar kerana kedua-dua calon itu kelihatan baik dan punya kelebihan masing-masing.
Juga diketahui ada kelemahan masing-masing, yang membuatkan kita amat berhati-hati bercampur bimbang membuat pilihan.
Teman-teman dan adik-adik yang dikasihi, ambillah masa yang sewajarnya untuk taaruf dan bangunkan komunikasi samada secara direct atau melalui orang tengah.
Adalah penting usaha kita sebagai seorang insan untuk merisik, menyiasat, menyoal selidik dan segala bentuk pencarian maklumat dan latar belakang insan yang kita cenderung menerimanya sebagai teman hidup.
Bukan mencari kesempurnaan, bukan menyelongkar keaiban insan lain - namun penyiasatan dan pemerhatian kita kepada bakal pendamping adalah persediaan penting.
Menjadi pembuka mata untuk kita membina rumahtangga dengan lapang dada dan bersedia dengan kemungkinan yang tiba.
Sebaiknya penyelidikan kita itu, kita musyawarahkan dengan ibu ayah atau orang-orang yang amanah dan berilmu. Kita bukan meminta orang lain membuat keputusan, namun pandangan mereka akan menjadi extra mata dan telinga untuk kita memilih teman hidup dengan teliti.
Jika kelak kita telah membuat keputusan memilih samaada si A atau si B, ada perkara-perkara penting pula untuk DIRI KITA sendiri fokus dan lakukan.
Usah bermain-main dengan keraguan perasaan...
Akankah lelaki ini kelak membahagiakan diriku?
Adakah lelaki ini akan menjadi pemimpin yang baik untukku?
Akan tulus ikhlaskah cinta kasihnya padaku?
Adakah lelaki ini kelak akan menghormati dan menghargaiku sebagai seorang isteri?
Bagaimana kelak dia akan melayaniku sebagai isteri, akan santun dan baikkah pekertinya?
Adakah kelak lelaki ini akan boleh menyesuaikan diri dan berbuat baik dengan ahli keluargaku?
Adakah hati ini akan bahagia menjadi isteri kedua, terlibat dengan poligami?
Sesungguhnya persoalan-persoalan ini adalah penting bukan untuk si dia bakal suami, tapi manfaatkanlah persoalan ini untuk perbaikan diri kita dalam menjadi seorang isteri.


Jika jawapannya tidak seperti yang kita jangkakan dan harapkan, bila-bila masa sahaja alam pernikahan akan mengundang kecewa dan gundah berpanjangan.
Sebaliknya, marilah bertanya pada diri...
Wahai diri, adakah keperibadian seperti diri ku ini kelak akan membahagiakan hati seorang suami?
Adakah karakter diriku ini membuatkan suamiku tenang dan senang dengan diriku sebagai orang/ isteri yang dipimpin?
Mampuku diriku tulus mencintai suami kerana Allah, bersabar dan berhikmah dengan seribu satu kelemahannya?
Mampukah kelak diriku menghormati keputusan dan tindakan suamiku sebagai pemimpin, walau ia berbeza dengan kehendak dan rasa hatiku?
Mampukah diriku menjadi isteri yang merasa cukup (qanaah) dan menghargai pemberian dan kebaikan suami setulusnya?
Kelak adakah diriku mampu untuk memilih akhlak seorang isteri yang penuh ketaqwaan sewaktu hati dicuit ketidakpuasan dan kemarahan jua kesedihan?
Harus bagaimana nanti untukku menyesuaikan diri jika ibu bapa mertua dan ipar duai tidak serasi cara hidup dan pemikiran mereka denganku?
Seandainya diriku menjadi isteri kedua atau ketiga, apakah sumbangan dan perananku untuk menambah kebahagiaan suami dan keluarganya yang sedia ada?
Nah..ayuh kita bersama menjawab persoalan ini, dan mengubah diri menjadi lebih baik.
Ya, kita takut tersalah pilih dalam membuat keputusan untuk pernikahan,namun percayalah Allah bersama-sama dengan orang yang melakukan kebaikan, yang sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Sikap, karakter diri, dan penghayatan Islam pada diri kita sendiri insya-Allah kelak akan bawa pengaruh yang besar pada suami dan rumahtangga.
Saat ini, berusahalah memilih calon suami yang beriman, usah keterlaluan memikirkan masa depan yang kita tak ada kawalan.
Isteri yang baik, tidak semestinya memiliki suami yang baik, kerana pernikahan adalah ruang ujian, teman hidup kita boleh saja menjadi ujian getir dalam hidup yang sebentar ini.
Suami akan berubah - cepat atau lambat, namun moga sifat dan sikap kita yang penuh nilai-nilai kebaikan mampu menjemput suami dan anak anak berubah kepada jalan yang dicintai tuhan.


sumber Tulisan: Nurul Adni Adnan, SISI KEHIDUPAN


Allah Maha Melihat. Melihat seluruhnya. Apabila mata Allah melihat, pasti tidak akan ada satu pun yang terlepas dari pandangan Allah walau sekelumit zarah sekalipun yang zahir mahupun yang tersembunyi.
Subhanallah...


Tetapi ciptaan yang bernama "insan" itu seringkali melihat dengan pandangan hati.
Andai hati itu bersih, pasti yang tersembunyi akan kelihatan berseri.
Tetapi andai hati itu banyak tompok dosa yang berkelompok, maka hasilnya tunggu dan lihat.
Saya pernah mendengar satu tazkirah yang pengisiannya sangat bermakna.
"Di hati seorang insan yang penuh dengan kebergantungannya pada Allah S.W.T itu pasti keputusannya juga sepenuhnya bergantung pada keputusan Allah."
Pilihan Allah adalah pilihannya, tetapi bagaimana kita tahu pilihan itu adalah pilihan Allah terhadap kita? Pada saya jawapannya adalah istikharah. Istikharah memohon petunjuk Allah S.W.T.
Pandanglah dengan pandangan Allah. Pandangan kebaikan untuk setiap ketentuan.
Apabila kita memandang setiap ketentuan Allah, setiap ujian Allah dan setiap pemberian Allah ke atas diri kita dengan pandangan yang penuh hikmah, pasti yang akan kita temui bukan noktah.
Tetapi kelembutan dan kasih sayang yang tidak pernah renggang, sungguhpun yang DIA berikan itu adalah kesakitan yang kita rasakan tidak akan pernah hilang.
Masa yang berlalu berbekalkan kesabaran akan membuka mata yang bersengkang untuk meminta kebenaran hikmah luas terbentang dan ketika itu, adakah masih mahu menentang? Atau megeluh panjang di atas segala nasib yang dikatakan malang?
Jangan, Allah itu Maha penyayang. Apabila Allah memberikan pasti pemberian itu ada kebaikan yang kemudiannya akan membuat kita tenang. Andai kesabaran menjadi tunjang dan berbaik sangka pada Allah yang selalu kita ingatkan.
"Insan" itu kejadiannya banyak kelemahan ujian datang untuk mendidik hati untuk beriman lembut menerima setiap pengajaran berfikir tentang kekuasaan DIA yang menciptakan.
Manusia itu tidak terlepas dari ujian yang menjadikan rapuhnya Iman, tersungkur ke tanah bagai tiada kekuatan untnk bangkit bertahan. Menimbulkan banyak persoalan, kenapa dan mengapa Allah memberikan kesakitan.  
Namun apabila pertolongan Allah datang melalui teman, segala peringatan Allah disampaikan melalui peti suara insan, kembali kukuh, senyum menikmati hikmah kehidupan. Mengambil pelajaran dan pengajaran atas setiap pemberian.
Sesungguhnya ujian begini sangatlah ringan andai dibandingkan dengan mereka terdahulu yang berperang menegakkan kebenaran. Subhannallah.
Allah itu masih sayang dan sangat sayang kerana memberikan ujian. Ujian itu tandanya mata Allah, perhatian Allah masih pada kita, masih belum berpaling dari kita dan masih tidak jemu mahu mendidik kita agar sedar akan siapa diri kita, amal ibadah kita, dunia kita dan Akhirat kita kelak. Insya-Allah.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (al-Ankabut, ayat 2-3)
sumber Tulisan:  Jee Fauzia